Taman Etnobotani FRIM telah mula ditubuhkan pada tahun 1995 dengan keluasan menghampiri 1.4 ha. selepas peluasan kawasan pada tahun 2009 dan 2017. Ia terletak 400 m dari pintu masuk utama FRIM. Taman Etnobotani bertindak sebagai satu pusat domestikasi dan pemuliharaan ex-situ tumbuhan ubatan dan beraroma (MAPS) yang digunakan oleh pelbagai etnik di Semenanjung Malaysia. Ia juga bertujuan untuk memupuk minat masyarakat umum terhadap MAPS. Sehingga kini, terdapat kira-kira 250 spesies MAPS daripada 89 famili tumbuhan yang dipulihara di Taman Etnobotani. Beberapa famili besar termasuklah daripada Fabaceae (famili kekacang), Euphorbiaceae (famili getah), Lauraceae (famili medang), Myrtaceae (famili kelat) dan Rubiaceae (famili kopi). Beberapa tumbuhan popular yang biasa digunakan oleh industri seperti murunggai (Moringa oleifera), misai kucing (Orthosiphon aristatus) dan kaduk (Piper sarmentosum) boleh dijumpai di sini.
DENAI ALAM
Denai ini bermula dari rumpun buluh gergasi berhampiran dengan kolam ikan. Perjalanan melalui denai ini mengambil masa lebih kurang 30 minit dan denai ini berakhir di belakang perpustakaan FRIM. Denai Keruing merupakan denai alam tertua di FRIM yang dibuka kepada orang awam dan denai ini dinamakan sempena spesies Dipterokarpa (Dipterocarpus sp.) atau keruing yang banyak terdapat di sepanjang denai. Denai Keruing merentasi ladang hutan antara yang tertua di FRIM dan terdapat beberapa jenis spesies kayu balak utama di Malaysia. Antara spesies balak yang ditanam di sini selain keruing ialah kapur (Dryobalanops aromatica), jelutung (Dyera costulata), merbau (Intsia palembanica), cengal (Neobalanocarpus heimii), serta meranti tembaga (Shorea leprosula).
DENAI ENGKABANG
Denai ini dinamakan bersempena dengan nama pokok engkabang (Shorea macrophylla) yang ditanam sekitar tahun 1935 dan 1937. Perjalanan melalui denai sepanjang 554 meter ini mengambil masa lebih kurang 45 minit dan dihubungkan dengan kawasan Arboretum Dipterokarpa. Beberapa spesies pokok hutan yang boleh ditemui di sini ialah pokok belian (Eusideroxylon oblongifolia), rotan semambu (Calamus sciponum) dan keladan (Dryobalanops oblongifolia). Denai ini merentasi bekas kawasan tanah lembap yang terjadi pada tahun 1930-an yang sebahagiannya ditutupi oleh padang rumput dan hutan belukar. Denai ini bertemakan biodegradasi yang berlaku di dalam hutan. Kehadiran kumpulan anai-anai dan kayu-kayu yang mereput menggambarkan proses yang bermanfaat di dalam persekitaran hutan semula jadi.
DENAI RAZAK
Denai razak terletak di Taman Botani Kepong dan dilancarkan pada 14 Januari 2008 dengan tema “Rich Diversity of Malaysian Under-Storey Plants”. Denai sepanjang 400 m ini dinamakan sempena nama bekas Ketua Pengarah FRIM yang kedua iaitu Datuk Dr Hj. Abdul Razak Mohd Ali yang telah bersara. Denai ini dibina untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan laluannya boleh digunakan oleh mereka yang berkerusi roda.

Terletak dalam kedamaian hutan ladang, pelawat boleh berkelah berhampiran Sungai Kroh. Di sini terdapat sebuah air terjun yang kecil, padang rumput, beberapa buah wakaf dan tandas, serta bilik sembahyang yang pastinya menjanjikan keseronokan dan kepuasan kepada pelawat. Kawasan perkelahan ini juga dilengkapkan dengan kafetaria yang menjual pelbagai jenis makanan tempatan. Kafetaria ini dibuka setiap hari kecuali Jumaat.
![]() |
Denai Razak |
![]() |
Rumah Tradisi |